KUALA LUMPUR, 8 Mei – Lebih 800 pemain dari 12 negara bakal berhimpun di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid bagi menyertai Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) 2025 yang akan berlangsung dari 25 Mei hingga 1 Jun ini.
Antara pemain kebangsaan yang dijangka memberi saingan sengit termasuk juara dunia, Muhammad Rafiq Ismail; pemenang Jelajah PBA, Tun Hakim Tun Hasnul Azam; juara Terbuka Malaysia, Ethan Damien Goh dan Hafiz Zainuddin.
Presiden Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA), Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata kejohanan itu terbuka kepada semua pemain, termasuk atlet para dan pemain muda.
“Kami satu-satunya persatuan negeri di Kuala Lumpur yang menganjurkan kejohanan khusus untuk atlet boling para. Ramai antara mereka berasal dari Kuala Lumpur dan mewakili negeri ini. Justeru, pihak pengurusan merasakan adalah penting untuk kami terus memberi tumpuan kepada pembangunan atlet para.
"Kini kami bukan sahaja mempunyai kategori para, malah turut menyediakan platform untuk atlet muda bawah 12 tahun hinggalah ke peringkat senior master,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kejohanan yang memasuki edisi kedua itu diperkenalkan semula pada tahun lalu selepas lapan tahun tidak dianjurkan, dan berjaya menarik perhatian dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM317,000, antara yang tertinggi di negara ini.
Juara Divisyen Terbuka bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 sementara insentif khas turut disediakan kepada pemain wanita terbaik dan atlet para.
KLIO 2025 turut menjadi medan persiapan penting buat skuad kebangsaan dan para negara menjelang Kejohanan Dunia IBF dan Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
Antara pemain antarabangsa yang bakal beraksi termasuk Sam Cooley (Australia), Yannaphon Larpapharat (Thailand) dan Kim Hyo-mi (Korea Selatan).
Sementara itu, jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail menyatakan keyakinannya untuk memberikan fokus penuh pada kejohanan berkenaan dalam usaha memburu gelaran pertama tahun ini.
“Saya akan bekerja dari segi fizikal bersama jurulatih. Kami sudah berbincang dan saya harap Terbuka KL ini saya dapat lalui dengan baik serta perbaiki kekurangan saya sebelum ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan kejohanan itu menjadi pentas penting bagi sesi pemilihan skuad ke Kejohanan Dunia IBF dan Sukan SEA di Thailand pada Disember nanti.