fb fb fb fb fb

Thomas Partey sertai Villarreal secara percuma selepas tinggalkan Arsenal

Thomas Partey / FOTO REUTERS

VILLARREAL, 8 Ogos – Kelab LaLiga, Villarreal mengumumkan telah menandatangani pemain tengah Ghana, Thomas Partey, secara perpindahan percuma selepas kontraknya bersama Arsenal tamat.

Pemain berusia 32 tahun itu bersetuju dengan kontrak selama semusim dan akan menyertai sesi latihan bersama skuad Villarreal pada Jumaat.

Bulan lalu, Partey telah didakwa atas tuduhan merogol dua wanita ketika masih bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Dia berdepan lima pertuduhan rogol melibatkan dua wanita, selain satu pertuduhan serangan seksual terhadap wanita ketiga, yang didakwa berlaku antara April 2021 hingga Jun 2022.

“Kelab menyedari bahawa pemain tersebut kini terlibat dalam prosiding undang-undang di England. Pemain bertegas mempertahankan dirinya dan menafikan semua pertuduhan terhadapnya,” kata Villarreal dalam satu kenyataan.

“Kelab menghormati prinsip asas iaitu hak untuk dianggap tidak bersalah, dan menunggu keputusan mahkamah yang akan bertanggungjawab menjelaskan fakta kes ini. Selaras dengan undang-undang Britain berhubung prosiding yang sedang berjalan, kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini.”

Partey membuat 167 penampilan dan menjaringkan sembilan gol bersama Arsenal sejak menyertai kelab itu dari Atletico Madrid pada 2020.

Villarreal yang menewaskan Arsenal 3-2 dalam aksi persahabatan pramusim pada Rabu, akan memulakan kempen LaLiga menentang Real Oviedo di laman sendiri pada 16 Ogos ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE