KUALA NERUS, 10 Julai - Pemain tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov menjadi import terbaharu Terengganu FC (TFC), bagi mengisi kuota import bebas pada jendela kedua musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh berkata pemain berusia 26 tahun itu memiliki rekod cemerlang dan pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan.
Beliau berkata sebelum menyertai TFC, Tukhtasinov yang berketinggian 1.72 meter itu pernah beraksi bersama pasukan FC Neftchi Fergana di Liga Super Uzbekistan.
"Tukhtasinov telah menandatangani kontrak selama 18 bulan dengan skuad Penyu bagi mengisi kuota pemain import bebas.
"Kehadirannya dapat memberi impak positif kepada kelab untuk mengharungi baki saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC) yang dijangka bermula September depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
(Pemain tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov pada hari pertama latihannya hari ini/FOTO FB TFC)
Ab Rasid berkata pemilihan Tukhtasinov berdasarkan pengalaman luas dalam skuad kebangsaan Uzbekistan iaitu bersama skuad bawah 19 tahun, skuad bawah 20 tahun dan skuad bawah 23 tahun.
"Ini adalah kali pertama beliau beraksi di Liga Malaysia bersama pasukan hitam putih dan akan memakai jersi bernombor 97, iaitu sempena tahun kelahirannya 1997.
"Beliau akan tiba di Terengganu dalam masa terdekat untuk memulakan latihan bersama rakan sepasukan," katanya.
Sementara itu, Tukhtasinov berkata beliau amat teruja untuk memulakan cabaran di Liga Malaysia yang amat asing baginya.
Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak menjadi halangan kerana misi utama adalah untuk membantu pasukan TFC memperoleh kejayaan. - BERNAMA