fb fb fb fb fb

Barcelona gantung jawatan kapten Ter Stegen susulan pertikaian kecergasan

Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen/ Foto AFP

BARCELONA, 8 Ogos – Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona mengumumkan bahawa mereka telah menggantung jawatan kapten pasukan utama melibatkan penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen, berikutan pertikaian berpanjangan berhubung status kecergasannya.

“Susulan prosiding tatatertib terhadap Marc-Andre ter Stegen dan sehingga ia diselesaikan sepenuhnya, kelab telah membuat keputusan untuk menarik balik sementara peranannya sebagai kapten pasukan utama.” menurut kenyataan rasmi kelab itu, pada Khamis.

Tugas kapten kini dipangku oleh naib kapten, Ronald Araujo, pertahanan kebangsaan Uruguay.

Menurut laporan media tempatan, pertikaian berpunca daripada keengganan Ter Stegen untuk bekerjasama dalam permintaan Barcelona kepada La Liga supaya beliau diiktiraf sebagai pemain cedera jangka panjang. Pengiktirafan itu membolehkan kelab mengurangkan gaji beliau daripada bil gaji rasmi, selaras dengan peraturan kewangan La Liga.

Barcelona kini berdepan tekanan besar untuk mematuhi peraturan ‘financial fair play’ sebelum musim baharu La Liga bermula. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak dapat mendaftarkan pemain baharu.

Ter Stegen, 33, baru-baru ini menjalani pembedahan belakang pada akhir Julai selepas dua musim dibelenggu kecederaan. Beliau juga enggan menandatangani borang pelepasan maklumat perubatan kepada La Liga, sekali gus menghalang proses pengiktirafan sebagai pemain yang tersisih jangka panjang.

Kedudukannya kini terancam dengan kehadiran dua penjaga gol baharu, Joan Garcia, 24, serta penjaga gol berpengalaman Poland, Wojciech Szczesny, 35, yang mendapat lanjutan kontrak selepas prestasi cemerlang musim lalu.

Marc-Andre ter Stegen merupakan pemain terakhir dalam skuad Barcelona yang menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2015 di bawah kendalian Luis Enrique. Beliau kini berdepan risiko penalti berat di bawah peraturan La Liga, termasuk kemungkinan penamatan kontrak. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN