fb fb fb fb fb

Liga Super India berdepan risiko dibatalkan susulan pertikaian AIFF, FSDL

Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey bercakap pada sidang media di New Delhi/ Foto AFP

NEW DELHI, 7 Ogos – Liga Super India (ISL) berdepan risiko dibatalkan musim ini apabila pertikaian antara Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) dan rakan komersialnya, Football Sports Development Limited (FSDL), masih belum diselesaikan.

Perbincangan tergempar diadakan Khamis lalu melibatkan semua 13 kelab ISL bersama kepimpinan AIFF dalam usaha menyelamatkan saingan liga elit itu yang lazimnya berlangsung dari September hingga April.

Perjanjian hak komersial antara AIFF dan FSDL, syarikat yang mengendalikan ISL akan tamat pada 8 Disember 2025 dan masih belum diperbaharui. Rundingan untuk menyambung perjanjian yang dimeterai sejak 2010 terhenti selepas Mahkamah Agung India mengarahkan penangguhan berikutan kes berkaitan perlembagaan baharu AIFF.

Situasi ini mengundang kesan besar apabila tiga kelab termasuk bekas juara, Bengaluru FC dilaporkan telah menghentikan bayaran gaji kepada pemain dan kakitangan, manakala latihan pra-musim juga belum bermula.

Presiden AIFF, Kalyan Chaubey tetap optimis dan berkata liga masih berpeluang dianjurkan.

“Kami berharap ISL musim ini tetap diteruskan, walaupun mungkin lewat sedikit. Ia mungkin melibatkan perubahan format atau aspek lain,” katanya kepada media.

Namun dalam isu tunggakan gaji oleh kelab, Chaubey menegaskan AIFF tidak akan campur tangan dalam cara kelab beroperasi.

ISL yang diperkenalkan pada 2014 pernah mencuri tumpuan dengan kehadiran bintang antarabangsa seperti Alessandro Del Piero, namun kini berdepan kemerosotan tontonan dan minat penaja.

Krisis ini menjejaskan lebih 5,000 individu termasuk pemain, jurulatih dan kakitangan teknikal.

AIFF dijangka mengadakan satu lagi mesyuarat penting dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju liga musim ini. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN