fb fb fb fb fb

Sukan Dunia 2025 gabung sukan tradisional dan moden

Foto REUTERS

CHENGDU, 7 Ogos - Sukan Dunia edisi ke-12 yang sedang berlangsung di Chengdu, wilayah Sichuan, barat daya China dari 7 hingga 17 Ogos 2025, menyaksikan gabungan unik antara sukan tradisional dan sukan kontemporari serta menjanjikan kepelbagaian acara menarik kepada penonton.

Seramai 321 atlet China bertanding dalam 152 acara merangkumi 28 sukan, menjadikan penyertaan tahun ini yang terbesar sejak negara itu mula menyertai Sukan Dunia pada 1981.

Edisi kali ini menampilkan 34 sukan, 60 disiplin, dan 256 acara, kebanyakannya adalah sukan bukan Olimpik.

Beberapa sukan baharu seperti selam bebas (free-diving), selam bebas bagi atlet kurang upaya, perlumbaan bot naga, serta seni mempertahankan diri kini diiktiraf sebagai acara rasmi buat julung kali.

Sukan tradisional seperti karate dan memanah turut dipertandingkan bersama sukan moden yang semakin popular seperti perlumbaan dron dan 'parkour'.

Beberapa acara yang dipertandingkan di Chengdu turut dijadualkan sebagai sukan rasmi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, termasuk trampolin, panjat tebing, 'flag football', sofbol dan skuasy.

Ditubuhkan pada tahun 1981 dan dianjurkan empat tahun sekali, Sukan Dunia merupakan acara pelbagai sukan bertaraf antarabangsa yang terbesar di luar kalendar Olimpik.

Ia memberi tumpuan kepada sukan-sukan yang belum tersenarai dalam program rasmi Olimpik, namun mempunyai daya tarikan dan komuniti tersendiri di seluruh dunia.

Sukan Dunia Chengdu 2025 dijangka menjadi platform penting dalam memperkenalkan sukan-sukan alternatif kepada khalayak global, selain mencerminkan kepelbagaian budaya dan inovasi dalam dunia sukan masa kini. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN