KUALA LUMPUR 7 Ogos- Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan elit WorldTeam bakal berentap dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-29 yang akan menjelajah seluruh Semenanjung bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Tiga pasukan berstatus WorldTeam yang mengesahkan penyertaan ialah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL dari Belanda (dikenali sebagai DSM-Firmenich PostNL musim lalu) dan Cofidis dari Perancis.
Manakala, lapan pasukan ProTeam dan 10 pasukan benua turut mengambil bahagian, termasuk dua pasukan tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling serta pasukan kebangsaan Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Mohd Ghani, jumlah pasukan WorldTeam itu menyamai penyertaan tahun lalu sekali gus akan merancakkan lagi perlumbaan selama lapan hari itu.
“Daripada lapan pasukan ProTeam, enam daripadanya pernah menyertai perlumbaan berprestij Grand Tour iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility (Tour de France); VF Group-Bardiani CSF-Faizane dan Team Polti VisitMalta (Giro d'Italia); serta Burgos-BH (Vuelta a Espana),” ujar beliau.
Beliau berkata, walaupun pendakian ke Genting Highlands sekali lagi tidak dimasukkan dalam laluan perlumbaan, cabaran dijangka kekal sengit menerusi Peringkat 3 (Gerik ke Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh ke Bukit Fraser) yang menjadi medan perebutan jersi pendaki terbaik.
“Peringkat 7 dari Melaka ke Medini yang melibatkan kayuhan sejauh 214.6 kilometer dan peringkat akhir dari Tangkak ke KLCC sejauh 180 kilometer dijangka menjadi penentu sehingga ke penghujung perlumbaan,” katanya.
Tambah beliau, meskipun senarai penuh enam pelumba bagi setiap pasukan masih belum dimuktamadkan, pihak penganjur yakin edisi kali ini tetap menarik minat peminat sukan berbasikal dengan kehadiran pelumba bertaraf dunia.
“Kita ternanti-nanti siapakah pelumba pilihan yang akan dibawa setiap pasukan sama ada fokus untuk kemenangan peringkat, klasifikasi individu, jersi Raja Bukit atau Raja Pecut,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata pihaknya masih menunggu pengesahan sama ada Max Poole, juara keseluruhan musim lalu, akan kembali menyarung jersi Picnic PostNL bagi mempertahankan gelaran individu keseluruhan.
Beberapa nama besar seperti Fabio Jakobsen, Alexander Kristoff dan Alberto Dainese telah mengesahkan kehadiran, sekali gus menjadikan LTdL 2025 antara penganjuran paling kompetitif dalam sejarahnya.
“Ini satu penghormatan kepada LTdL kerana kehadiran pelumba berprofil tinggi yang pernah mencipta kejayaan di Grand Tour serta perlumbaan klasik Eropah menaikkan lagi imej kejohanan,” ujarnya.
LTdL 2025 akan merentasi semua 12 negeri di Semenanjung melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,257.8 kilometer.
Kejohanan ini dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disenaraikan sebagai sebahagian daripada kalendar Jelajah Asia UCI bertaraf ProSeries.
Sebagai perbandingan, edisi LTdL kali ini menampilkan lebih banyak pasukan WorldTeam dan ProTeam berbanding jelajah bertaraf sama di Asia seperti Tour of Qinghai Lake, Tour of Hainan dan Tour of Taihu Lake.