ISKANDAR PUTERI, 7 Ogos – Saingan pembuka tirai Liga Malaysia 2025 bakal menyaksikan pertembungan epik antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seteru tradisi, Selangor FC dalam perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Selain menjadi medan perebutan trofi sulung musim ini, aksi tumpuan itu bakal menjadi pentas buat kedua-dua pasukan menguji kekuatan sebenar, termasuk memperkenalkan barisan pemain baharu mereka kepada para penyokong.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan pasukannya tidak gentar dengan reputasi yang dimiliki oleh Harimau Selatan itu bahkan bersedia memberi tentangan sengit kepada JDT, meskipun sedar pasukan itu beraksi di gelanggang lawan.
"Kami menghormati sepenuhnya JDT yang begitu dominan dalam kancah bola sepak Malaysia.
"Namun kami yakin dengan persiapan yang telah dilakukan. Saya berharap kami mampu memberikan impak menerusi barisan pemain baharu yang berpengalaman, meskipun pertama kali beraksi di Malaysia,” katanya pada sidang media perlawanan itu di sini.
Nada optimis turut disuarakan kapten Selangor FC, Nooa Laine, yang bertekad memberikan saingan sengit kepada pasukan tuan rumah.
"Kami sedar akan kekuatan JDT apabila beraksi di gelanggang sendiri. Namun kami juga yakin dengan kemampuan pasukan dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan tentangan sengit kepada JDT", ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berazam mahu menjadikan perlawanan malam esok sebagai medan terbaik memperkenalkan gaya permainan menarik pasukan kendaliannya kepada penyokong Harimau Selatan.
“Paling penting adalah memahami bahawa ini merupakan perlawanan pertama kami di laman sendiri.
"Kami perlu menjalin keserasian dengan penyokong dan gaya permainan pasukan. Persiapan berjalan dengan baik dan kami cukup bersedia untuk mencipta kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Kapten JDT, Natxo Insa pula memberi jaminan bahawa pasukan itu kini berada dalam keadaan terbaik selepas melalui sesi pramusim yang kompetitif.
“Kami sedar betapa pentingnya untuk membina momentum positif dan perlu terus mengekalkan semangat yang ditunjukkan sepanjang aksi pra-musim untuk perlawanan esok,” ujarnya.
JDT kini memegang rekod sebagai pasukan paling banyak menjuarai Piala Sumbangsih dengan sembilan gelaran, sementara Selangor pula mengekori rapat dengan lapan kejuaraan.
Sejak 2007, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 55 kali dalam semua pertandingan, dengan JDT mencatat 26 kemenangan, Selangor 15 kemenangan, dan 14 perlawanan berakhir seri.