KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Impian Terengganu FC (TFC) untuk mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN bagi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak kesampaian
biarpun mencatat kemenangan 2-0 menentang Bali United FC, pada Rabu.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu menyaksikan TFC gagal menghasilkan jaringan besar untuk mengatasi kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC, naib juara Kumpulan F untuk layak ke peringkat kalah mati.
Terdahulu, Pada aksi babak pertama menyaksikan percubaan Habib Haroon pada minit ke-21 berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan, Muhammad Ridho.
Ia diikuti percubaan pemain muda, Syahmi Zamri pada minit ke-23 yang menyambar umpanan cantik Nor Hakim Hassan, tetapi gagal menghasilkan jaringan.
Hanya pada minit ke-39, tuan rumah berjaya menemui rentak dan meledak gol pertama menerusi pemain import kelahiran Haiti, Sony Norde yang merembat kencang dari luar kotak penalti.
Dua minit sebelum masa perlawanan tamat, skuad Penyu berjaya menambah gol kedua menerusi pemain gantian, Sardor Kulmatov menolak masuk bola ke dalam gawang hasil hantaran Nurillo Tukhtasinov.
TFC yang terdesak untuk mengumpul lebih banyak jaringan terus menggandakan asakan tetapi berjaya dikekang pertahanan lawan.