fb fb fb fb fb

PSG lolos ke pusingan 16 Liga Juara

FOTO REUTERS

DORTMUND, 14 Disember- Paris Saint Germain (PSG) berjaya meloloskan diri ke slot pusingan 16 Liga Juara selepas seri 1-1 dengan Borussia Dortmund dalam pertembungan Kumpulan F pada Rabu.

Keputusan seri itu membolehkan kelab gergasi Perancis berkenaan menjadi naib juara kumpulan sekali gus mengecewakan AC Milan dan Newcastle United pada perlawanan terakhir kumpulan.

Pada perlawanan, yang dilangsungkan di Signal Iduna Park itu, kedua-dua pasukan mensia-siakan peluang bagi menghasilkan gol apabila terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah, Borussia Dortmund membuka jaringan pada minit ke-51 menerusi Karim Adeyemi.

PSG yang tersentak dengan jaringan berkenaan, meningkatkan asakan dan berhasil menjaringkan gol pada minit ke-55 menerusi pemain remaja, Warren Zaire-Emery selepas mendapat umpanan daripada Kylian Mbappe.

Gol berkenaan merupakan gol pertama Emery sekali gus menjadikannya pemain termuda Perancis menjaringkan gol pada Liga Juara pada usia 17 tahun, 280 hari.

Borussia Dortmund yang telah layak ke pusingan 16, kekal di tangga teratas dengan 11 mata diikuti PSG, lapan mata.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD