KUALA NERUS, 17 Oktober - Terengganu FC (TFC) perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila melayani kunjungan Kuching City FC dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali, menegaskan penting untuk meraih kemenangan dengan sebanyak mungkin jaringan sebagai bekalan sebelum aksi timbal balik di Sarawak nanti.
Tujuannya, bagi mencapai misi untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan.
“Kita perlu cipta kemenangan di laman sendiri, di hadapan penyokong sendiri. Bekalan jaringan yang selesa sangat penting untuk beri kelebihan dalam aksi kedua nanti,” katanya.
Tambah beliau, skuad Penyu diingatkan agar tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum mereka dengan jaringan pihak lawan.
Dalam pada itu, hanya Akhyar Rashid yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali, manakala pemain lain dilaporkan bebas daripada sebarang kecederaan.
Sementara itu, pemain sayap TFC, Muhammad Baqiuddin Shamsudin memberi peringatan kepada rakan sepasukannya agar berwaspada terhadap ancaman barisan serangan The Cats, yang disifatkan pantas dan tajam.
“Kuching City memiliki barisan serangan yang cukup berkualiti. Mereka konsisten musim ini, dengan gabungan pemain tempatan dan import yang berpengalaman,” katanya.
Baqiuddin yang masih memburu jaringan pertamanya musim ini turut menyatakan hasrat untuk mencetak gol dalam perlawanan penting itu.
“Saya akan berikan aksi terbaik jika diturunkan dan harap dapat menjaringkan gol pertama musim ini,” tambahnya.