KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Senarai akhir atlet olahraga negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand dijangka diumumkan pada minggu pertama November, kata Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Norhayati Karim.
Senarai pendek atlet telah pun dikenal pasti, namun beberapa prosedur penting masih perlu dilalui sebelum pemilihan dimuktamadkan, termasuk penilaian prestasi semasa, tahap kecergasan, serta tapisan kesihatan.
“Ada beberapa prosedur yang perlu kita ikut. Ini termasuk pembahagian atlet kategori A dan B, serta semakan laporan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam sidang media di pejabat MA, di sini.
Beliau menjelaskan proses pemilihan ketat ini penting untuk memastikan hanya atlet yang benar-benar bersedia dari segi fizikal dan prestasi akan mewakili negara di temasya dwitahunan itu.
Dalam perkembangan lain, Norhayati turut mengumumkan penganjuran Seminar dan Forum Gender Leadership 2025 yang akan berlangsung pada 26 Oktober ini, bertujuan membincangkan isu penyertaan, cabaran dan kepimpinan wanita dalam bidang sukan.
Program itu, katanya, merupakan inisiatif pertama seumpamanya oleh persatuan sukan kebangsaan di Malaysia dan dianjurkan dengan kerjasama Olahraga Dunia (World Athletics).
