NAPLES, 14 Disember- Ketua jurulatih Napoli, Antonio Conte, menghamburkan pujian terhadap pasukannya selepas mencatat kemenangan 3-1 , ke atas Udinese pada Sabtu.
Beliau menyatakan tiada perubahan taktikal besar diperlukan untuk memastikan kebangkitan itu, namun menekankan keperluan untuk terus meningkatkan mutu permainan.
Conte memuji semangat juang Napoli ketika menentang Udinese yang dianggap pasukan sukar, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai tindak balas pasukannya terhadap dua kekalahan berturut-turut kepada Lazio yang menyaksikan mereka tersingkir daripada Coppa Italia dan kehilangan kedudukan teratas Serie A.
"Udinese adalah pasukan yang sangat baik dan saya melihat tindak balas yang kuat daripada pemain saya," kata Conte kepada DAZN.
"Kita perlu realistik, berani, dan memahami bahawa untuk menang, anda perlu menguasai permainan, seperti yang kami lakukan hari ini."
Pada perlawanan itu, Udinese terlebih dahulu di hadapan melalui jaringan Florian Thauvin yang menyudahkan bola muntah hasil sepakan penalti.
Napoli menyamakan kedudukan melalui jaringan Romelu Lukaku, gol sendiri Lautaro Giannetti, dan jaringan lewat Andre-Frank Zambo Anguissa untuk melengkapkan kebangkitan.
Bagi Conte, keputusan separuh masa pertama tidak mencerminkan penguasaan pasukannya.
"Kami mengawal permainan dari awal hingga akhir, walaupun ketinggalan 1-0.
"Penalti itu tidak mengubah permainan untuk kami," tambah Conte.
"Kami mencipta peluang pada separuh masa pertama dan kami perlu terus bermain bola sepak seperti itu.
"Mengekalkan penguasaan, mendominasi permainan, menekan tinggi, dan mengawal tempo permainan adalah kunci untuk kami", tambahnya.
Kemenangan tersebut meletakkan Napoli dua mata di belakang pendahulu Serie A, Atalanta, yang menewaskan Cagliari 1-0 pada Sabtu.
Pasukan Conte akan berdepan Genoa minggu depan bagi meneruskan misi pemburuan kejuaraan Serie A.-REUTERS.