KUALA LUMPUR, 15 Disember – Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) RTM menyasarkan penganjuran kejohanan berskala lebih besar pada masa hadapan sebagai usaha mencungkil bakat kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia.
Presiden KSR RTM, Tarmimi Sahad berkata sambutan memberangsangkan terhadap kejohanan anjuran KSR RTM telah menjadi pemangkin untuk memperluaskan skala pertandingan.
Menurutnya, selain memupuk persefahaman dalam kalangan kakitangan, kejohanan peringkat jabatan juga berfungsi sebagai platform untuk memilih pemain yang layak mewakili jabatan ke peringkat lebih tinggi.
“Kami menyertai pertandingan seperti MAKSWIP dan menghantar pasukan ke kejohanan tersebut. Jika ada rezeki, pemain kami mungkin akan terpilih untuk bertanding di peringkat MAKSAK. Itulah matlamat utama kami,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Tertutup RTM 2024 di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Tambahnya, sokongan padu kakitangan RTM yang aktif mendaftar dalam kelab-kelab di bawah naungan KSR RTM turut mencetuskan rancangan untuk memperluaskan skala kejohanan.
Kejohanan badminton edisi ketiga itu berlangsung selama dua hari, melibatkan 38 regu lelaki dan 16 regu wanita, yang terdiri daripada kakitangan RTM Angkasapuri serta RTM negeri.