fb fb fb fb fb

Tersingkir Terbuka AS, Djokovic ikrar terus buru kejuaraan Grand Slam

Bintang tenis Serbia, Navak Djokovic / Foto REUTERS

NEW YORK, 6 September - Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic berikrar akan terus berjuang memburu gelaran Grand Slam selepas tersingkir di separuh akhir Terbuka AS kepada Carlos Alcaraz pada Jumaat.

Impian Djokovic untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-25 musnah selepas tewas straight set 4-6, 6-7(4), 2-6 kepada bintang Sepanyol itu.

Legenda Serbia berusia 38 tahun itu menegaskan beliau akan kembali menyertai terbuka berkenaan tahun depan.

"Saya tidak akan menyerah terhadap Grand Slam, saya akan terus berjuang," katanya.

"Saya masih mahu bermain satu musim penuh Grand Slam tahun depan. Ia berbeza dengan mana-mana kejohanan lain. Ia adalah tonggak sukan ini", ujarnya.

Djokovic sebelum ini mengakui perlu berada pada tahap kecergasan terbaik untuk menewaskan Alcaraz, 22, yang kini mendominasi tenis lelaki bersama pemain nombor satu dunia dari Itali, Jannik Sinner.

Kedua-duanya telah berkongsi tujuh kejuaraan Grand Slam.

Bagaimanapun, Djokovic berkata beliau mula kehabisan tenaga selepas dua set pertama.

"Saya sudah hilang tenaga selepas set kedua. Saya rasa saya masih mampu mengikut rentaknya untuk dua set, tetapi selepas itu saya tidak berdaya. sedangkan dia terus bertenaga," katanya.

Djokovic turut mengakui faktor fizikal menjadi cabaran besar pada usianya kini.

"Saya gembira dengan tahap permainan saya, tetapi dari segi fizikal, saya tidak mampu bertahan lebih lama.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk pastikan tubuh saya cergas, tetapi ia tidak cukup. Itu sesuatu yang sukar dikawal pada tahap karier saya kini."

Beliau juga menyedari cabaran menewaskan Alcaraz dan Sinner di Grand Slam semakin sukar.

"Saya rasa peluang saya lebih baik dalam format Tiga Terbaik. Tetapi format format Lima Terbaik ia memang berat," katanya.

Meskipun kecewa, Djokovic tetap menghormati dominasi dua pemain muda itu yang digelar "Sincaraz".

"Memang tidak menyeronokkan kalah, tetapi jika saya tewas, biarlah kepada dua pemain ini. Saya tahu mereka lebih baik ketika ini.

"Kita kena akui dan ucap tahniah", katanya. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD