fb fb fb fb fb

Terengganu juara PNAGS 2024

Pasukan juara, Terengganu menerima hadiah disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim

JOHOR BAHRU, 16 September- Pasukan Terengganu menepati gelaran sebagai gergasi golf amatur Malaysia apabila berjaya merangkul gelaran juara kejohanan final Kebangsaan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 di yang berlangsung selama dua hari di Forest City, Johor, baru-baru ini.

Dalam perlawanan sengit selama dua hari, Terengganu mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu kuasa besar golf Malaysia, membawa pulang Piala Cabaran Perodua PNAGS.

Acara tersebut menghimpunkan 70 pemain golf amatur terbaik negara, di di lapangan Legacy dan Classic di Forest City menyaksikan setiap peserta memperoleh tempat mereka melalui kehebatan dan usaha keras dalam pusingan kelayakan di peringkat negeri.

Pasukan Terengganu yang diketuai oleh kapten Mohd Firdaus Ahmad, mengatasi pesaingnya dan mencipta kemenangan yang monumental. Firdaus, seorang peguam dan peminat tegar golf, memberi inspirasi kepada pasukannya melalui persediaan yang rapi dan tekad tinggi.

“Kami memasuki kejohanan ini dengan mengetahui bahawa pasukan dari negeri lain lebih besar dan berpengalaman,” kata Firdaus. “Strategi kami mudah, tingkatkan permainan dan kekalkan perpaduan. Saya amat berbangga dengan semangat dan daya juang pasukan saya. Kemenangan ini adalah untuk Terengganu, dan ia merupakan bukti kepada kerja keras dan ketabahan kami,"katanya.

Persembahan cemerlang daripada pemain-pemain utama Terengganu; Muhammad Nor Hisham Hussain, Ng Kim Yong, Sia Chee Kian, dan Kamaruzzaman Mansor amat penting dalam memastikan kejayaan pasukan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Delta World dan Presiden WAGC Malaysia, Isac Saminathan,menekankan peranan penting penaja, khususnya Perodua, dalam memajukan PNAGS menjadi kejohanan golf amatur terkemuka di Malaysia.

“Kejayaan berterusan kejohanan ini adalah cerminan daripada sokongan yang tidak berbelah bahagi dari para penaja,” kata Saminathan. “Kerjasama dengan Perodua, khususnya, telah menjadi kunci dalam memperluaskan PNAGS ke tahap yang belum pernah dicapai,"katanya .

PNAGS tahun ini membawa taruhan yang lebih tinggi, dengan pemain terbaik dalam lima kategori handicap meraih penghormatan untuk mewakili Malaysia di Final Dunia WAGC di Phuket, Thailand dari 25 Oktober hingga 2 November 2024.

Juara kebangsaan akan mempamerkan kebolehan mereka ke pentas antarabangsa, bersaing dengan pemain amatur terbaik dari lebih 40 negara, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai tempat lahirnya bakat-bakat golf.

Lapangan golf terbaik di Phuket, Red Mountain, Laguna Golf Club, Blue Canyon Golf & Country Club akan menjadi pentas bagi Final Dunia WAGC, di mana kontinjen Malaysia diketuai oleh Johan Gwee yang memenangi Medal A dengan catatan par 72 nett diikuti pemegang pingat lain termasuk Choo Kueh Fong (Medal B), Muhammad Feyyaz Ashaari (Medal C), Sia Chee Kian (Medal D), dan Nazaruddin Moksin (Medal E).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin.

Sejak diperkenalkan, PNAGS telah menarik lebih daripada 20,000 pemain golf amatur dari Malaysia dan luar negara. Pengaruh acara ini melangkaui padang golf, memberi manfaat kepada industri pelancongan dan perkhidmatan Malaysia, serta memberi kesan ekonomi yang ketara kepada perniagaan dan komuniti tempatan.

Malaysia mempunyai sejarah gemilang di WAGC, setelah memenangi gelaran dunia di Afrika Selatan (2012), Turki (2015), dan terbaru di Sabah (2019), Kuala Lumpur (2022), dan Phuket (2023). Juara PNAGS 2024 kini berpeluang menambah satu lagi bab dalam legasi cemerlang Malaysia di pentas dunia.

PNAGS 2024 mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), dengan sokongan kuat daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia. Ia turut dijayakan oleh penaja utama Perodua, dan rakan kongsi utama seperti Spectrum Outdoor, Volvik, VIN Distribution, Skechers Golf, Iroas Watch, Etika Sdn. Bhd, dan Fella Design.

Penaja lain yang turut menyumbang kepada kejayaan kejohanan ini termasuk Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines, MASwings, Firefly), Gatorade, Bleu, Wonda Coffee, Sting, IROAS Watch, Hospitality 360, Jakes Charbroil, Le Botanical, Throatsil, Acti-Tape, Munchy's, dan Vanakam Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE