WUHAN, 10 Oktober - Aryna Sabalenka meneruskan rentak cemerlangnya di Terbuka Wuhan apabila mencatat kemenangan ke-20 berturut-turut selepas menewaskan Elena Rybakina 6-3, 6-3, sekali gus mara ke separuh akhir menentang Jessica Pegula.
Juara bertahan tiga kali itu, yang pernah menjuarai kejohanan sama pada 2018, 2019 dan 2024, mempamerkan aksi dominan dengan pukulan forehand bertenaga untuk mematahkan servis Rybakina pada set pertama sebelum terus mengawal permainan di set kedua.
Sabalenka, yang kini mendahului rekod pertemuan 8-5 ke atas pemain Kazakhstan itu, turut menebus kekalahan terdahulu di Cincinnati tahun ini.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Pegula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Katerina Siniakova 2-6, 6-0, 6-3 – kemenangan ke-50 musim ini yang mengukuhkan peluangnya layak ke WTA Finals bulan depan.
Sabalenka memiliki rekod cemerlang menentang Pegula, memenangi lapan daripada 10 pertemuan mereka termasuk di final AS Terbuka tahun lalu.-REUTERS