fb fb fb fb fb

Indonesia tolak atlet Israel sertai Kejohanan Gimnastik Dunia

Presiden Persekutuan Gimnastik Indonesia, Ita Yuliati / AFP

JAKARTA, 10 Oktober - Persekutuan Gimnastik Indonesia memaklumkan bahawa badan induk sukan gimnastik dunia menyokong keputusan kerajaan negara itu untuk menolak kemasukan atlet Israel ke Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia yang akan berlangsung di Jakarta dari 19 hingga 25 Oktober ini.

Kejohanan berprestij itu dijangka menghimpunkan lebih 500 atlet dari 79 negara, namun kerajaan Indonesia mengambil pendirian untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Israel atas dasar solidariti terhadap rakyat Palestin.

Pengerusi Persekutuan Gimnastik Indonesia, Ita Yuliati, berkata pihaknya telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) dan menerima sokongan rasmi daripada badan itu.

“FIG hari ini secara rasmi memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon bahawa mereka menyokong keputusan kerajaan Indonesia. Visa atlet Israel telah ditolak oleh pihak imigresen,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Setakat ini, FIG belum memberikan sebarang kenyataan rasmi kepada pihak media antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Raja Sapta Oktohari, berkata pihaknya bersedia menanggung sebarang implikasi atau tindakan susulan daripada keputusan berkenaan.

“Kita akan menilai semula sebarang akibat selepas kejohanan ini berlangsung,” ujarnya.

Indonesia sebelum ini pernah menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Pantai Dunia ANOC 2023 susulan bantahan terhadap penyertaan Israel, selain kehilangan hak penganjuran Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA pada Mac tahun sama selepas dua gabenor membantah penglibatan pasukan Israel.

Indonesia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel bagaimanapun membenarkan rakyat negara itu atau penaja mereka memohon visa jangka pendek di bawah prosedur “calling visa”.

Warga Israel yang memiliki dua kerakyatan juga boleh memasuki Indonesia menggunakan pasport kedua mereka.

Kerajaan Indonesia sebelum ini turut menyatakan minat untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2036.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE