BUKIT JALIL, 9 Januari- Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berjaya mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan wakil England Gregoy Mairs-Jenny Mairs.
Turut mara, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menundukkan wakil dari Taiwan.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, pasangan No.15 dunia itu tidak diberikan laluan mudah apabila perlu bertarung dalam tiga set.
Selepas mencatat kemenangan 21-16 pada set pertama, namun tewas pada set kedua dengan 17-21 mengheret perlawanan ke set penentuan.
Perubahan taktikal semasa set ketiga memberi kelebihan buat wakil negara untuk menutup perlawanan dengan 21-17.
"Jurulatih suruh kita tukar taktikal permainan, kena berani dan lebihkan serangan," kata Soon Huat kepada pemberita.
"Hari ini kita dapat sokong satu sama lain walaupun ketinggalan mata, kita yakin. Kita sentiasa ada untuk masing-masing," jelas Shevon kepada pemberita.
Lawan Soon Huat-Shevon di pusingan berikut pemenang antara beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.
Sementara itu, beberapa wakil negara memulakan langkah kiri pada pusingan pertama.
Pasangan beregu campuran negara,Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing tumpas kepada pasangan di ranking ke-7 dunia dari Korea Selatan.
Perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata menyaksikan pasangan diranking ke-25 dunia itu tewas kepada Kim Won Ho dan Jeong Na Eun, 11-21,16-21.
Nasib sama dialami beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 12-21, 19-21 kepada pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Turut tewas kepada wakil China, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah dengan 20-22, 15-21.