fb fb fb fb fb

Terbuka Malaysia: Aaron Chia-Wooi Yik mara ke pusingan seterusnya

Foto FB BAM

BUKIT JALIL, 10 Januari- Gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menceriakan peminat badminton tanah air apabila berjaya mara ke pusingan seterusnya bagi Kejohanan Terbuka Malaysia PETRONAS 2024, hari ini.

Mereka berjaya menewaskan wakil dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard dalam aksi tiga set, 20-22, 21-13 dan 21-13.

Pertarungan selama 1 jam 2 minit itu menyaksikan wakil Denmark yang turun selaku bukan pilihan, tidak memberi laluan mudah kepada Aaron-Wooi Yik untuk mencatat kemenangan pertama bagi musim 2024.

"Ini adalah pertemuan pertama kami menentang mereka. Saya rasa di set pertama, kami tidak dapat sesuaikan diri dengan corak permainan mereka tetapi kami berjaya mengejar mata demi mata. Kemudian, perlahan-lahan dapatkan semula keyakinan dan rentak kami," jelas Aaron Chia.

Turut mencatatkan kemenangan, gandingan beregu Nur Izzudin-Goh Sze Fei yang mudah menewaskan lawan dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dalam perlawanan 'straight set', 21-17 dan 22-20.

"Saya rasa teruja untuk perlawanan pertama ini setelah setahun tidak beraksi di sini. Jadi, terima kasih saya ucapkan kepada peminat-peminat yang datang beri sokongan kepada wakil negara," kata Izzudin kepada pemberita selepas perlawanan.

Aaron Chia-Wooi Yik, akan bertemu wakil negara, Izzudin-Sze Fei untuk aksi seterusnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM