BUKIT JALIL, 10 Januari- Gandingan beregu campuran negara yang sedang meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka kempen Terbuka Malaysia 2024 dengan langkah kanan.
Gandingan itu menang mudah ke atas wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dengan kutipan mata 21-17 dan 21-18.
Mereka yang turun selaku pilihan ke-8 kejohanan tampil lebih yakin selepas menundukkan pasangan bukan pilihan itu dalam tempoh 1 jam 14 minit sahaja.
Menurut Tang Jie-Ee Wei, meski memperoleh kemenangan mudah, mereka akui saingan di dalam gelanggang agak mendebarkan.
"Semua atlet mahu lebih fokus dan untuk menang jelajah pertama musim ini. Tambahan pula, kita beraksi di negara kita sendiri. Saya rasa kita tidak fikir banyak, hanya fikir nak menang semua perlawanan sahaja," kata Tang Jie kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini di Axiata Arena.
Pertemuan itu merupakan pertembungan kali ketiga antara kedua-dua pasangan tersebut.
Pada pusingan kedua, Tang Jie- Ee Wei yang berada di ranking ke-9 dunia bakal berdepan pasangan dari Jepun, Hiroki Midorikawa- Natsu Saito.
Sementara itu, kejayaan itu turut dikecapi gandingan negara menerusi Chan Peng Soon-Cheah Yee See selepas berjaya menundukkan wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dalam aksi tiga set, 11-21, 26-24 dan 21-8.
Peng Soon-Yee See dijangka berdepan gandingan pilihan ke-5 kejohanan iaitu wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin untuk aksi seterusnya.
Dalam pada itu, wakil tunggal perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut layak ke pusingan kedua.
Jin Wei menundukkan lawan dari Taiwan, Sung Shuo Yun dalam aksi 'straight sets', 21-18 dan 21-11.
Wakil Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung yang diletakkan sebagai pilihan ke-7 kejohanan, menanti Jin Wei untuk aksi kedua kejohanan.