KUALA LUMPUR, 17 Julai - Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan- Hung En Tzu, pada aksi pusingan kedua, hari ini.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu tidak berdepan banyak masalah apabila mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-16 dalam masa 35 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Juara Terbuka Thailand itu dijadualkan bertemu gandingan Korea Selatan, Jeong Na-eun-Lee Yeon Woo di pentas suku akhir esok.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan beregu tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-19, 21-18.
Pasangan ranking nombor satu dunia itu akan membuat perhitungan dengan gandingan Indonesia yang berada di ranking kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Turut mara, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan China, Huang Di-Liu Yang 21-19, 14-21, 22-20.
Pasangan pilihan keenam kejohanan itu bakal berdepan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di suku akhir.
Terbuka Jepun merupakan kejohanan bertaraf Super 750 dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$950,000 (kira-kira RM4 juta).- BERNAMA