fb fb fb fb fb

Terbuka Indonesia : Zii Jia kecewa walau lepasi pusingan awal

JAKARTA, 14 Jun - Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pertama Terbuka Indonesia 2022 selepas menyingkirkan pemain Thailand Sitthikom Thammasin di Stadium Istora Senayan di sini hari ini.

Pemain berusia 24 tahun yang turun selaku pilihan keenam, memerlukan 41 minit sebelum menjinakkan pemain bukan pilihan itu 21-15, 21-14 untuk berdepan pemain India Sameer Verma di pusingan kedua.

Zii Jia yang menduduki ranking kelima dunia bagaimanapun kecewa dengan kualiti permainan ditampilkannya pada perlawanan hari ini.

“Saya tidak berpuas hati, perlu lagi mengurangkan kesilapan mudah dan meningkatkan tahap fokus,” katanya ketika ditemui Bernama.


(Foto fail)

Juara Kejohanan Badminton Asia 2022 yang masih dibayangi kekalahan kepada pemain tuan rumah Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir Masters Indonesia pada Jumaat lepas bagaimanapun berharap dapat mencipta keputusan lebih baik kali ini.

“Memandangkan ia adalah kejohanan berturut-turut, saya rasa kebanyakan pemain agak letih. Saya fikir segalanya mengenai mental dan fokus untuk bertahan lebih lama dalam kejohanan. Itulah cabarannya,” katanya.

Sementara itu, beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mencipta kejutan menewaskan gandingan nombor satu dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai 21-18, 7-21, 22-20. -BERNAMA

Media Baharu