KUALA LUMPUR, 9 Jun- Wakil tunggal negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, dinobat sebagai naib juara beregu lelaki bagi Terbuka Indonesia 2024.
Pasangan itu gagal menyekat kebangkitan pasangan China, Liang Weikeng-Wang Chang dalam aksi akhir yang berlangsung hari ini, di Istora Senayan, Jakarta.
Namun, pujian wajar diberi kepada beregu negara, yang tetap memberi saingan sengit kepada pasangan nombor dua dunia tersebut sehingga permainan diheret ke set penentuan.
Mereka tewas dengan keputusan 21-19, 16-21 dan 12-21.
Beregu meningkat naik itu masih belum berjaya menewaskan pasangan juara tersebut, meski telah merekodkan empat kali pertemuan.
Wei Chong-Kai Wun masih boleh berbangga dengan usaha mereka yang berjaya menembusi pentas akhir kejohanan jelajah dunia bertaraf Super 1000 berkenaan.