KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Beregu profesional lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2025 selepas menundukkan gandingan China, Xie Haonan-Zeng Wei Han, dengan kemenangan 21-13, 21-15 di Odense, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti pasangan ranking dunia ke-24 itu apabila mereka dijadual menentang juara dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, di pusingan seterusnya.
Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang juga merupakan pilihan utama kejohanan sebelum itu tidak berdepan masalah menewaskan beregu tuan rumah, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, dengan keputusan 21-11, 21-11.
Sementara itu, beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menampilkan aksi bertenaga sebelum tunduk kepada pasangan handalan China, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 Liang Wei Keng-Wang Chang, pada pusingan pertama.
Pasangan bukan pilihan itu tewas 19-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 53 minit.
