TOKYO, 15 Oktober - Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menggesa anak buahnya agar membina ketahanan mental yang lebih kukuh selepas tewas mengejut 2-3 kepada Jepun dalam aksi persahabatan di Tokyo, Selasa; kekalahan pertama Brazil kepada pasukan Asia itu.
Jurulatih kelahiran Itali itu menekankan kepentingan belajar daripada kesilapan yang menyebabkan pasukannya dibolosi tiga kali pada separuh masa kedua, sambil menegaskan kekalahan itu perlu dijadikan pengajaran menjelang Piala Dunia tahun depan.
Ancelotti, yang mengambil alih pasukan pada Mei lalu selepas kempen kelayakan Brazil yang tidak konsisten, memberi tumpuan kepada pembentukan skuad yang lebih fleksibel dan mempunyai kekuatan mental tinggi.
Walaupun menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kekalahan di Tokyo menonjolkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, selain mencetuskan persoalan terhadap keputusannya menurunkan barisan pemain simpanan selepas kemenangan besar 5-0 ke atas Korea Selatan, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada kesilapan itu akan mempengaruhi pemilihan pemain ke Piala Dunia, Ancelotti menolak dakwaan tersebut dan menegaskan tumpuan utamanya ialah kepada reaksi serta kebangkitan kolektif pasukan.
Brazil dijadualkan menentang Senegal dan Tunisia dalam dua aksi persahabatan seterusnya pada November, yang akan berlangsung di England dan Perancis.-REUTERS
