fb fb fb fb fb

CAS tolak rayuan Israel sertai Kejohanan Gimnastik Dunia di Jakarta

FOTO AFP

LAUSANNE, 15 Oktober - Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan awal Israel berhubung keputusan Indonesia menafikan visa kepada atletnya, sekali gus menamatkan harapan negara haram itu untuk menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia yang dijadual berlangsung di Jakarta hujung minggu ini.

Keputusan CAS itu menyusul selepas Kerajaan Indonesia memutuskan untuk tidak mengeluarkan visa kepada gimnas Israel, susulan bantahan awam terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza. Langkah tersebut menyebabkan penyertaan Israel ke kejohanan dunia itu terbatal sepenuhnya.

Dalam kenyataan kepada Reuters, Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Israel (IGF), Sarit Shenar, mengesahkan tiada lagi ruang untuk rayuan baharu.

“Untuk kejohanan dunia kali ini, segalanya sudah berakhir. Kami tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan kami tidak mampu memulihkan kekecewaan para gimnas,” katanya.

Shenar turut menggesa agar CAS membuat keputusan tegas supaya tiada lagi diskriminasi terhadap atlet berdasarkan asal negara atau alasan politik pada masa depan.

“Saya benar-benar berharap CAS akan mengeluarkan keputusan yang kuat agar tiada mana-mana pihak berani mengulangi tindakan sebegini terhadap mana-mana atlet dari mana-mana negara,” ujarnya.

CAS dalam kenyataannya memaklumkan telah menerima dua rayuan daripada IGF; satu mencabar penolakan visa oleh Indonesia dan satu lagi menuntut agar Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) memastikan penyertaan Israel atau memindahkan lokasi kejohanan.

Namun, rayuan pertama ditolak atas alasan tiada bidang kuasa, manakala rayuan kedua masih dalam proses pertimbangan. CAS turut menolak permohonan untuk langkah sementara bagi membolehkan atlet Israel bertanding.

Kerajaan Indonesia, melalui Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Yusril Ihza Mahendra, menjelaskan keputusan menolak visa dibuat selepas menerima bantahan daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta pihak kerajaan di Jakarta.

Konteks penolakan itu turut berkait rapat dengan perang Gaza yang terus mencetuskan kecaman meluas di Indonesia, walaupun selepas gencatan senjata terbaru dilaksanakan.

Konflik yang berlarutan sejak Oktober 2023 menyaksikan hampir 68,000 nyawa menjadi korban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE