GOTHENBURG, 15 Oktober - Persatuan Bola Sepak Sweden (SvFF) mengumumkan pemecatan ketua jurulatih Jon Dahl Tomasson selepas pasukan itu mempamerkan prestasi hambar dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Jurulatih kelahiran Denmark itu menamatkan tugasnya selepas kekalahan 0-1 di laman sendiri kepada Kosovo, yang juga merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad Sweden. Keputusan itu menyebabkan pasukan berkenaan terperosok di tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan.
Walaupun skuad Sweden dibarisi penyerang bernilai tinggi seperti Alexander Isak dan Viktor Gyökeres, pasukan itu gagal menjaringkan sebarang gol hampir 300 minit permainan.
Sweden kini berdepan laluan sukar untuk mara ke Piala Dunia apabila bakal menentang Switzerland, pendahulu kumpulan, serta Slovenia pada aksi bulan November nanti.
Skuad Scandinavia itu kini berusaha bangkit selepas kekalahan memalukan kepada pasukan Kosovo yang berada di ranking ke-91 dunia, 59 anak tangga di bawah mereka.-REUTERS
