fb fb fb fb fb

Qatar tumpaskan UAE 2-1, sah ke Piala Dunia 2026

FOTO REUTERS

DOHA, 15 Oktober - Dua jaringan menerusi tandukan Boualem Khouki dan Pedro Miguel memastikan Qatar menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dalam aksi Kumpulan A Kelayakan Asia di Doha, malam tadi.

Gol pertama hadir empat minit selepas babak kedua bermula apabila Khouki menyempurnakan sepakan percuma Akram Afif untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Afif sekali lagi menjadi watak utama apabila hantaran sepakan percuma beliau pada minit ke-74 disambut kemas oleh Pedro Miguel yang menanduk masuk gol kedua Qatar.

Pertahanan Qatar, Tarek Salman, bagaimanapun dilayangkan kad merah pada minit ke-89, sebelum Sultan Adil merapatkan jurang untuk UAE kira-kira sembilan minit kemudian dalam masa kecederaan yang panjang melebihi 15 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Qatar muncul juara Kumpulan A dengan empat mata, mendahului UAE (tiga mata) dan Oman (satu mata) dalam pusingan keempat kelayakan Asia.

Qatar kini sah beraksi di Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut, selepas membuat penampilan sulung mereka sebagai tuan rumah pada edisi 2022.

Sementara itu, UAE akan berdepan Iraq dalam pusingan play-off dua perlawanan bulan depan dan pemenangnya akan mara ke play-off antara benua pada Mac depan bagi merebut tiket ke Piala Dunia.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE