KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski, memuji semangat berpasukan dan disiplin tinggi dipamerkan anak buahnya selepas menewaskan Laos 5-1 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
“Ia satu cabaran yang baik. Saya berikan pujian kepada semua pemain kerana kekal fokus dan terus percaya dengan corak permainan kita. Separuh masa pertama agak tumpul, sementara pemain Laos juga beraksi bersungguh-sungguh untuk mengekang kita,” tambah beliau.
Cklamovski turut mengakui walaupun skuad negara ketinggalan pada babak pertama, para pemain bangkit dengan penuh keyakinan dan mempamerkan pelbagai penyudah berkualiti untuk memastikan kemenangan bergaya di laman sendiri.
Sementara itu, jurulatih Laos, Ha Hyeokjun, mengakui kekuatan serta kualiti permainan Malaysia jauh lebih baik dan tersusun.
“Saya percaya pemain kami menunjukkan peningkatan sepanjang perlawanan, tetapi berbanding Malaysia, mereka mempunyai liga domestik yang lebih berkualiti. Apabila pemain kembali ke liga, mereka dapat mengekalkan tahap fizikal dan kecergasan, dan itu antara kelebihan utama mereka.
“Kami bermain mengikut perancangan pada separuh masa pertama, namun hilang fokus pada babak kedua dan akhirnya tewas 5-1,” ujarnya lagi.
Kedua-dua jurulatih berkenaan berkongsi pandangan mereka dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi di hadapan lebih 18,000 penonton itu, skuad Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan luar biasa pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan besar ke atas Laos.
Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Malaysia selepas empat perlawanan, sekali gus mendahului Kumpulan F dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Malaysia dijadual menentang Nepal pada 18 November sebelum menutup saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.
