fb fb fb fb fb

Arab Saudi sah ke Piala Dunia 2026

FOTO REUTERS

JEDDAH, 15 Oktober - Arab Saudi mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Iraq di Stadium Jeddah, awal pagi tadi.5

Skuad bimbingan Hervé Renard hanya memerlukan satu mata untuk melayakkan diri, dan penyelamatan penting oleh penjaga gol Nawaf Al-Aqidi pada masa kecederaan menafikan sepakan percuma melengkung Hassan Abdulkareem, sekali gus memastikan kemaraan pasukan tuan rumah.

Keputusan itu menyaksikan Arab Saudi muncul juara Kumpulan B bagi pusingan keempat kelayakan zon Asia, mengumpul empat mata, sama seperti Iraq, namun berada di depan menerusi kelebihan jaringan selepas menewaskan Indonesia 3-2 sebelum ini.

Pertemuan tegang di hadapan lebih 60,000 penyokong itu menyaksikan kedua-dua pasukan sukar menembusi benteng lawan pada babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Saleh Abu Al-Shamat mencipta peluang terbaik apabila hantarannya yang tepat menemui Feras Al-Brikan, namun percubaan susulan Saud Abdulhamid sekadar melewati gawang.

Al-Shamat terus menjadi ancaman, namun penjaga gol Iraq Jalal Hassan bertindak cemerlang menafikan percubaan berbahaya seawal enam minit selepas sepak mula babak kedua.

Hassan sekali lagi menjadi penghalang apabila menafikan cubaan kapten Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, diikuti percubaan Nasser Al-Dawsari pada minit ke-63.

Iraq hampir mencuri kemenangan apabila Mohanad Ali berjaya melepasi pertahanan, namun disekat tepat pada masanya oleh Hassan Al-Tambakti.

Detik paling mendebarkan hadir pada masa kecederaan apabila sepakan percuma Abdulkareem dari jarak 25 ela hampir menembusi gawang, namun diselamatkan dengan cemerlang oleh Al-Aqidi untuk memastikan kemenangan moral dan tiket ke Piala Dunia buat kali ketujuh sejak penampilan sulung mereka pada tahun 1994.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE