Kelayakan Piala Asia: Harimau Malaya baham Laos

BUKIT JALIL, 14 Oktober -Skuad Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F apabila membelasah Laos 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini sebentar tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harimau Malaya bangkit kuat di babak kedua selepas ketinggalan, menunjukkan semangat juang dan kawalan permainan yang mantap.
  • Romel Morales berperanan besar dengan dua gol, menjadi kunci kebangkitan dan kemenangan pasukan.
  • Kemenangan 5-1 mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan 12 mata, hampir layak ke Piala Asia 2027.

Pada perlawanan berkenaan, anak-anak buah Peter Cklamovski dikejutkan dengan rembatan Chanthavixay Khounthoumphone pada minit ke-19 untuk memberi kelebihan 1-0 kepada Laos sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan negara kembali bangkit menerusi sepakan percuma yang cantik oleh Faisal Halim pada minit ke-59.

Romel Morales kemudiannya menggandakan jaringan buat Harimau Malaya pada minit ke-65.

Morales kemudiannya menjaringkan gol ketiga buat Harimau Malaya pada minit ke-70 bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Pasukan Laos terus tertekan selepas pemain pertahanannya, Khammanh Thapaseut menjaringkan gol sendiri pada minit ke-79 akibat salah faham dengan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.

Pesta jaringan Harimau Malaya di sudahkan dengan gol kelima menerusi pemain gantian, Paulo Josue pada minit ke-82 bagi menjadikan keputusan muktamad 5-1.

Kemenangan itu mengekalkan rekod bersih Harimau Malaya yang kini mengumpul 12 mata maksimum dan kekal di persada kumpulan, sekali gus semakin hampir ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.