fb fb fb fb fb

13 pingat emas jadi rebutan hari kelima SAGA XI Tawau 2025

Temasya Sukan Sabah (SAGA) ke-11 Tawau 2025

TAWAU, 15 Oktober - Sebanyak 13 pingat emas, 13 perak dan 23 gangsa menjadi rebutan pada hari kelima Temasya Sukan Sabah (SAGA) ke-11 Tawau 2025, hari ini.

Antara acara utama yang menawarkan pingat ialah berbasikal, olahraga, taekwondo, petanque, bola jaring dan ping pong.

Tumpuan hari ini terarah kepada acara berbasikal Cross Country Olympic (XCO) bagi kategori lelaki dan wanita, selain beberapa acara akhir olahraga di Kompleks Sukan Tawau termasuk 5,000 meter lelaki serta 100 dan 110 meter lari berpagar.

Dalam acara taekwondo, tiga kategori dipertandingkan iaitu light weight lelaki, welter weight wanita dan welter weight lelaki, manakala petanque triple lelaki dan wanita turut menawarkan pingat emas.

Sementara itu, bola jaring wanita menjadi acara penutup tirai dengan aksi akhir berpasukan, manakala dalam ping pong, dua lagi pingat emas bakal ditentukan menerusi kategori perseorangan lelaki dan wanita.

Setakat semalam, kontinjen Kota Kinabalu terus mendahului kedudukan keseluruhan dengan kutipan 12 pingat emas, 8 perak dan 9 gangsa.

Sandakan di tempat kedua dengan 7 emas, 2 perak dan 6 gangsa, manakala Putatan di tangga ketiga dengan 6 emas, 4 perak dan 5 gangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE