KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Cabaran dua beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di Terbuka Denmark 2025 berakhir seawal pusingan pertama.
Dalam perlawanan di Jyske Bank Arena, Odense hari ini Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan kedua kejohanan dikejutkan oleh pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat 17-21, 13-21 dalam tempoh hanya 33 minit.
Pilihan ketiga kejohanan, Sze Fei-Nur Izzuddin pula tewas 13-21, 21-13, 14-21 kepada beregu England, Ben Lane-Sean Vendy dalam masa 55 minit.
Sementara itu, juara Terbuka Artik, Pearly Tan-M. Thinaah menepati jangkaan apabila mudah menewaskan gandingan Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-13, 21-17 untuk melangkah ke pusingan kedua.
Pilihan kedua kejohanan itu dijadualkan menentang pasangan Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida.
Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 19-21, 14-21 kepada pasangan Perancis Christo-Toma Junior Popov. -BERNAMA
