BARCELONA, 15 Oktober – Pemain tengah Belanda, Frenkie de Jong menandatangani lanjutan kontrak baharu bersama Barcelona hingga tahun 2029, umum kelab itu pada Rabu.
De Jong, 28, menyertai Barcelona dari Ajax Amsterdam pada 2019 dan kini memasuki musim ketujuh bersama gergasi Catalan itu.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah membantu kelab meraih dua kejuaraan La Liga dan dua gelaran Copa del Rey.
“Barcelona yakin pemain tengah ini akan terus menjadi tunjang utama projek sukan semasa berdasarkan kualiti dan pengalamannya,” menurut kenyataan rasmi kelab.
Walaupun pernah bergelut dengan prestasi tidak menentu, De Jong kembali menjadi tonggak penting di bahagian tengah di bawah bimbingan Hansi Flick musim lalu, bergandingan bersama Pedri Gonzalez.
“Saya sentiasa bermimpi untuk bermain bersama Barcelona, dan kini saya hidup dalam impian yang saya miliki sejak kecil. Saya mahu terus mengejar impian ini selama bertahun-tahun lagi dan berhasrat memenangi lebih banyak kejuaraan,” kata De Jong pada sidang media.
Menurut laporan media Sepanyol, pemain itu yang sebelum ini antara penerima gaji tertinggi kelab, bersetuju untuk menerima pengurangan gaji bermula musim 2026/2027.
Namun, De Jong menegaskan bahawa laporan mengenai jumlah pendapatannya sebelum ini telah diperbesarkan dan memberi kesan terhadap persepsi peminat terhadap dirinya.
“Saya tidak akan beritahu berapa yang saya terima, tetapi angka yang disebut-sebut sebelum ini sangat berlebihan. Ia mempengaruhi cara orang melihat saya, seolah-olah saya pemain dengan gaji tertinggi di Eropah,” jelasnya.
Barcelona pernah cuba menjual De Jong pada 2022 sebagai langkah penjimatan, tetapi beliau tegas untuk kekal bersama kelab yang telah diwakilinya lebih daripada 250 perlawanan.
“Saya tidak pernah rasa tidak dihargai oleh rakan sepasukan, jurulatih atau pihak kelab, hanya media yang sering membesar-besarkan perkara ini. Itulah keindahan bola sepak, setiap orang bebas memberi pandangan,” tambahnya. -AFP
