LONDON, 16 Oktober- Sebuah bandar di India, Ahmedabad dinamakan untuk menjadi lokasi utama bagi menganjurkan Sukan Komanwel 2030, umum Majlis Eksekutif Sukan Komanwel.
Keputusan akhir pencalonan Ahmedabad, yang juga dikenali sebagai Amdavad, akan dibuat pada Mesyuarat Agung Sukan Komanwel di Glasgow pada 28 November ini.
"Majlis Eksekutif Sukan Komanwel mengesahkan akan mengesyorkan Amdavad, India, sebagai lokasi cadangan bagi menganjurkan Sukan Komanwel ke-100 pada 2030," kata kenyataan Majlis Eksekutif dalam satu kenyataan.
Ahmedabad merupakan bandar utama di negeri Gujarat, iaitu negeri asal Perdana Menteri India, Narendra Modi. Bandar ini juga menempatkan stadium kriket terbesar di dunia dengan kapasiti 130,000 tempat duduk.
India telah menyerahkan surat hasrat rasmi kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tahun lalu bagi membida penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2036.
Ahmedabad telah dipilih mengatasi ibu negara Nigeria, Abuja, dalam persaingan untuk menjadi tuan rumah bagi temasya 2030.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, menyifatkan pengumuman tersebut sebagai “hari yang penuh kegembiraan dan kebanggaan buat India.”
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat India atas kelulusan pihak Persatuan Komanwel terhadap bidaan negara itu untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2030 di Ahmedabad,” ujar beliau.
Kewujudan Sukan Komanwel pernah dipersoalkan tahun lalu apabila penganjur menghadapi kesukaran mencari tuan rumah baharu bagi edisi 2026, selepas negeri Victoria di Australia menarik diri atas alasan kos penganjuran yang tinggi.
Namun demikian, bandar Glasgow di Scotland tampil sebagai penyelamat dan bersetuju untuk menganjurkan versi temasya yang lebih kecil, menjadikan United Kingdom sebagai tuan rumah bagi dua edisi berturut-turut, selepas Birmingham pada tahun 2022.
Sukan Komanwel 2030 juga bakal menyambut ulang tahun ke-seratusnya selepas temasya itu pertama kalinya diadakan di Hamilton, Kanada pada tahun 1930. -AFP
