JOHOR BAHRU, 15 Oktober- Skuad hoki remaja kebangsaan gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas kepada Great Britain di Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu menyaksikan pasukan Great Britain terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Kaden Draysey pada minit ke-10.
Pasukan Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan di suku kedua hasil jaringan padang Muhammad Adam Asyraf pada minit ke-17.
Dua minit berselang giliran Jonny Sturch-Hibbit kembali meletakkan pasukan Great Britain di depan juga menerusi jaringan padang pada minit ke-19, menjadikan kedudukan 2-1.
Great Britain menjarakkan kedudukan 3-1 hasil jaringan Monty Neave pada minit ke-29.
Bersambung babak kedua, Jonny Sturch-Hibbit sekali lagi menambah derita pasukan negara apabila menjaringkan gol ke-4 pada minit ke-39, sekaligus melengkapkan kemenangan 4-1 pasukan Great Britain ke atas Malaysia.
Malaysia bakal turun pada Jumaat ini bertemu India dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
