KUALA SELANGOR, 15 Oktober – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melati mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan SK Putrajaya Presint 15 (1) 4-3 menerusi sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bawah 12 Tahun Piala Magnolia F&N sulung di padang SK Bandar Baru di Kuala Selangor hari ini.
Kedua dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar dengan gol minit kelima Muhammad Afiq Daniel Juani untuk SK Putrajaya Presint 15 (1) manakala Ahmad Nurfayruz Ahmad Kamal dari SK Taman Putra mengikat kedudukan sepuluh minit kemudian.
Ketua jurulatih, Muhammad Ash Syahid Ismail berkata pasukannya tidak bersiap sedia untuk penentuan sepakan penalti sebaliknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Pemain bekerja keras dan bersedia dengan baik untuk kejohanan ini. Untuk perlawanan suku akhir menentang pasukan Putrajaya ini, saya merasakan pemain agak goyah pada awal permainan dan itu menyebabkan kesilapan," kata Muhammad Ash Syahid.
"Untuk separuh akhir esok, kami bersedia untuk apa sahaja. Kami tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar tetapi kami bersedia."
Untuk separuh akhir esok, SK Taman Melati akan menentang satu lagi pasukan dari Putrajaya iaitu SK Presint 9 (2) yang menang tipis 1-0 pada suku akhir ke atas SK Sri Pristana.
Muhammad Fathullah Mohammad Nizar menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-12.
Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Magnolia dianjurkan dari 13 hingga 16 Oktober di Kuala Selangor dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan.
Kejohanan tiga hari yang menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu itu menampilkan 16 pasukan kesemuanya.
Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah.
Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Tuan rumah, Selangor diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan.
Kejohanan Piala Magnolia dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 dan dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Ithnin Mahadi, Pengarah Kerajaan & Industri, Engagement, Fraser & Neave Holdings Berhad, Norazrin Norsyam Yee serta Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Manap.
