KUALA LUMPUR, 24 Julai – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 selepas mengatasi cabaran beregu tuan rumah pada pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini.
Gandingan pilihan keempat itu hanya memerlukan 35 minit untuk menundukkan pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, 22-20, 21-17.
Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui pada aksi suku akhir esok.
Guo-Chen sebelum ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 22-20, 21-15.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, 21-23, 7-21.
Keputusan itu menyaksikan Jun Hao mengalami penyingkiran awal ke-11 dalam 12 kejohanan yang disertainya tahun ini.
Pencapaian terbaik pemain nombor 26 dunia itu musim ini ialah layak ke suku akhir Terbuka Singapura 2025 pada Mei lalu, sebelum turut tewas kepada Kunlavut, 13-21, 11-21.