fb fb fb fb fb

Liverpool ikat penyerang Perancis Hugo Ekitike, £69 juta

FOTO liverpoolfc.com

LIVERPOOL, 24 Julai - Liverpool mengumumkan pembelian penyerang Perancis, Hugo Ekitike daripada Eintracht Frankfurt dengan nilai dilaporkan £69 juta(pound) bersama klausa tambahan, pada Khamis.

Perpindahan itu menjadikan Ekitike sebagai rekrut kedua termahal The Reds pada jendela perpindahan musim ini selepas juara Liga Perdana itu menandatangani pemain tengah Jerman, Florian Wirtz dengan rekod kelab bernilai £100 juta pada Jun lalu.

“The Reds mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu telah melepasi ujian perubatan dan bersetuju dengan terma peribadi, membolehkan beliau menyertai rakan sepasukan baharu dalam siri jelajah pramusim di Hong Kong minggu ini,” menurut kenyataan kelab itu.

Bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu mempamerkan kebangkitan luar biasa pada musim 2024-25 dengan meledak 15 gol dalam 33 penampilan Bundesliga serta empat gol membantu Frankfurt mara ke suku akhir Liga Europa.

Ekitike memulakan karier profesional bersama Stade de Reims sebelum dipinjamkan ke PSG pada 2022, membuat 25 penampilan Ligue 1 ketika mereka meraih kejuaraan liga, sebelum berhijrah ke Frankfurt secara pinjaman pada 2023 dan diserap secara tetap setahun kemudian.

Pengarah Sukan Frankfurt, Markus Kroesche menyifatkan perpindahan itu sebagai bukti kemampuan kelab Jerman berkenaan membangunkan bakat berkualiti.

“Ia satu kisah hebat buat Ekitike dan Frankfurt apabila beliau berpindah ke salah satu kelab elit Eropah yang mempunyai cita-cita besar. Hugo layak mendapat peluang ini dan ia membuktikan kami mampu menawarkan prospek cerah kepada pemain,” katanya.

Liverpool bakal memulakan misi mempertahankan gelaran Liga Perdana dengan menentang Bournemouth di Anfield pada 15 Ogos.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE