fb fb fb fb fb

New Zealand mansuh garis panduan atlet transgender

Menteri kanan merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters / AFP

WELLINGTON, 24 Julai – Kerajaan New Zealand mengumumkan pemansuhan garis panduan penyertaan atlet transgender dalam sukan komuniti yang diperkenalkan pada 2022.

Menteri kanan merangkap Menteri Luar negara itu, Winston Peters, menegaskan keputusan tersebut bertujuan memastikan keselamatan dan kesaksamaan penyertaan sukan wanita.

“Negara tidak seharusnya mencampuri urusan peribadi rakyat, dan atlet lelaki secara biologi tidak sepatutnya bersaing dalam sukan wanita. Ini semata-mata bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan atlet wanita di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Garis panduan terdahulu dibangunkan oleh agensi kerajaan Sport NZ yang menekankan kesejahteraan, keselamatan, anti-diskriminasi dan antibuli, selain menyarankan penggunaan bahasa inklusif gender serta penyediaan ruang persendirian di bilik persalinan.

Menerusi pemansuhan ini, atlet transgender tidak lagi mempunyai jaminan rasmi untuk bertanding mengikut jantina pilihan mereka.

New Zealand sebelum ini dikenali sebagai antara negara paling progresif dalam membenarkan penyertaan atlet transgender, termasuk atlet angkat berat Laurel Hubbard yang menjadi atlet transgender pertama bersaing di Sukan Olimpik Tokyo 2021.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE