KUALA LUMPUR, 24 Julai – Edisi ke-21 Piala Sultan Selangor (TSSC) bakal menghidupkan semula nostalgia perseteruan bola sepak antara Selangor dan Singapura apabila berlangsung di Stadium Merdeka pada 27 September depan.
Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kejohanan berprestij itu sentiasa dinantikan peminat bola sepak tanah air, khususnya penyokong kedua-dua pasukan.
Majlis pelancaran rasmi dan jualan tiket akan diadakan di Sunway Pyramid pada 2 Ogos ini.
“Tiket boleh dibeli bermula 2 Ogos di Sunway Pyramid pada harga RM15 untuk tempat biasa dan RM40 bagi Grand Stand. Kedua-duanya melayakkan peminat menyertai cabutan bertuah yang disediakan,” katanya.
Selain itu, tiket turut boleh didapati di Hotel Concorde Kuala Lumpur dan Shah Alam, serta Restoran Uncle K di LCC Mall Shah Alam.
Jersi rasmi TSSC 2025 yang dinanti-nantikan peminat juga akan mula dijual pada tarikh sama.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Abd Karim memaklumkan Prasarana Malaysia Berhad akan melanjutkan operasi perkhidmatan LRT, MRT dan monorel sehingga 12.30 tengah malam pada hari perlawanan bagi kemudahan penyokong.