KUALA NERUS, 24 Julai – Perjalanan lebih 10 jam dari Kuching ke Kuala Lumpur sebelum ke Kuala Terengganu menjadi cabaran awal buat pasukan ragbi Sarawak yang bertekad memburu kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu bermula Jumaat ini.
Edisi kali ini mencatat sejarah apabila Sarawak menghantar penyertaan terbesar dengan 66 peserta termasuk pegawai pasukan bagi empat kategori yang dipertandingkan.
Untuk rekod, pada edisi lalu Sarawak hanya menghantar satu pasukan bagi kategori Lelaki Terbuka dan menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan selepas mara ke suku akhir.
Ketua Jurulatih B21 Ragbi Wanita Sarawak, Sylvia Alexander Lian berkata, penyertaan kali ini menjadi medan terbaik menilai tahap kemahiran pemain dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki menjelang persiapan ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
“Kami mahu melihat tahap kemahiran pemain, mengenal pasti kelemahan dan menambah baik persediaan ke SUKMA 2026,” katanya.
Ketua Jurulatih B21 Ragbi Wanita Sarawak, Sylvia Alexander Lian
Sementara itu, Ketua Jurulatih B21 Ragbi Sarawak, Er Embran Mohammad Ali berkata, pasukan menyasarkan peningkatan ranking dan berharap membawa pulang keputusan positif.
“Misi utama kami adalah memperbaiki kedudukan ranking. Jika berjaya bawa pulang kejuaraan, itu adalah bonus untuk pasukan,” ujarnya.
Ketua Jurulatih B21 Ragbi Sarawak, Er Embran Mohammad Ali
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini menghimpunkan 41 pasukan dengan 139 perlawanan merangkumi empat kategori: Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun.