NEW DELHI, 24 Julai - Bola sepak India kini bergelut dengan krisis yang semakin meruncing, membabitkan ketidaktentuan di peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.
Terbaharu, liga utama negara Indian Super League (ISL), berada di ambang kemusnahan akibat pertelingkahan antara badan pentadbir dan pemegang francais, masa depan sukan ini dilihat semakin suram.
Ketiadaan ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan lelaki menambah lagi kekeliruan. Pasukan itu kini beraksi tanpa hala tuju yang jelas selepas perletakan jawatan Igor Štimac, yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan kekangan bajet dan campur tangan pentadbiran.
“Kami berada dalam keadaan terluka dan takut. Bukan sahaja kerana kehilangan jurulatih, tetapi juga kerana liga domestik kita mungkin runtuh.” kata seorang pegawai kanan dari All India Football Federation (AIFF) yang enggan namanya didedahkan.
Konflik utama tertumpu pada struktur pemilikan ISL, di mana beberapa francais mempertikaikan keputusan AIFF untuk mengubah format liga dan pengagihan hasil komersial.
Beberapa pasukan telah mengugut untuk menarik diri, memaksa AIFF menangguhkan jadual musim baharu.
India sebelum ini digelar sebagai “gergasi tidur” oleh bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter, kerana potensinya yang besar, namun realitinya jauh berbeza.
Pembangunan akar umbi lemah, infrastruktur usang, dan kekurangan pelaburan menjadikan kemajuan bola sepak India statik selama lebih sedekad.
Peminat yang dahagakan kejayaan antarabangsa semakin hilang sabar.
Media tempatan melaporkan kejatuhan ketara dalam jumlah kehadiran penonton ke stadium serta penurunan minat terhadap liga domestik di platform digital.
Beberapa tokoh veteran menyeru pembaharuan menyeluruh termasuk bekas kapten pasukan kebangsaan, Sunil Chhetri.
“Kami pernah berada di bawah sebelum ini, tetapi ini adalah antara titik terendah, namun ia juga boleh menjadi peluang untuk bermula semula jika tindakan segera diambil.” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, badan-badan sukan tempatan dan penyokong menyeru campur tangan Kementerian Sukan India untuk menyelamatkan struktur bola sepak yang kian runtuh ini.-AFP