fb fb fb fb fb

Barcelona batal perlawanan persahabatan pramusim jelajah Asia

Foto AFP

BARCELONA, 24 Julai - Barcelona telah membatalkan perlawanan persahabatan pramusim mereka menentang kelab Jepun, Vissel Kobe, yang dijadual berlangsung Ahad ini, dengan alasan berlaku “pelanggaran kontrak serius” oleh pihak penganjur.

Kelab itu turut memberi amaran bahawa aksi seterusnya di Korea Selatan mungkin turut berdepan risiko pembatalan.

Kelab gergasi La Liga itu sepatutnya menentang Vissel Kobe dalam siri jelajah Asia sebelum meneruskan perlawanan menentang FC Seoul pada 31 Julai dan Daegu FC pada 4 Ogos.

“Barcelona mengumumkan bahawa mereka terpaksa membatalkan penyertaan dalam perlawanan yang dijadualkan Ahad ini di Jepun disebabkan pelanggaran kontrak serius oleh pihak penganjur,” menurut kenyataan rasmi kelab itu yang dikeluarkan lewat malam Rabu.

Barcelona menyatakan kekesalan atas keputusan tersebut dan menyatakan simpati terhadap para peminat di Jepun.

“Barcelona kesal dengan insiden ini dan kesannya terhadap ramai peminat Barca di Jepun.” katanya.

Sementara itu, Vissel Kobe dalam kenyataan pada Khamis berkata mereka “sedang menyiasat situasi ini”, dan memohon maaf kepada para penyokong.

“Kami dengan tulus memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang mungkin timbul kepada ramai peminat dan pihak berkepentingan yang menantikan perlawanan ini,” tambah kelab itu, yang sebelum ini pernah diwakili Andres Iniesta.

Penganjur jelajah, syarikat berpangkalan di Korea Selatan, D-Drive, pula memberi jaminan bahawa perlawanan di negara itu tidak terjejas.

“Semua aktiviti yang dijadualkan di Korea Selatan akan berlangsung seperti dirancang, tanpa sebarang gangguan.

“Isu ini berpunca sepenuhnya dari pihak Jepun dan tidak ada kaitan sama sekali dengan jelajah Korea.” kata mereka dalam kenyataan berasingan, sambil menyalahkan penganjur Jepun atas pembatalan di Kobe.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH