BEIJING, 5 Oktober- Coco Gauff bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan pemain Sepanyol, Paula Badosa sekali gus melangkah ke final Terbuka China pada Sabtu.
Pemain Amerika itu menang dengan skor 4-6, 6-4, 6-2 dan akan berdepan dengan juara Olimpik dari China, Zheng Qinwen atau Karolina Muchova dalam penentuan gelaran pada Ahad di Beijing.
Juara Terbuka AS tahun lalu, yang bergelut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kini memburu gelaran keduanya tahun ini dan yang kelapan secara keseluruhan.
Pemain berusia 20 tahun itu berpisah dengan jurulatihnya, Brad Gilbert, selepas aksinya di Terbuka New York berakhir di pusingan ke-16 dengan beberapa kesilapan mudah.
"Saya cuba untuk tetap fokus, ia sukar tetapi secara mental saya hanya cuba untuk reset," kata Gauff.
Setakat ini, satu-satunya gelaran yang dimenangi Gauff tahun ini adalah di Auckland pada Januari.-AFP