BINTULU, 5 Oktober- Saingan laluan terpanjang Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi 2024 dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3 kilometer dikuasai pelumba pasukan benua.
Awal saingan menyaksikan tiga pelumba Malaysia termasuk wakil Terengganu Cycling Team(TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli dan Mohamad Nur Aiman Zariff menyertai kelompok 5 pelumba melakukan pecahan awal.
Aiman Rosli konsisten menguasai zon pecutan pertama dan kedua.
Bagaimanapun zon pecutan terakhir diungguli pemenang saingan peringkat pertama, Gleb Syritsa daripada pasukan Astana Qazaqstan.
Pelumba Burgos-BH, Jose Manuel Diaz pula menguasai zon pendakian terakhir musim ini.
Persaingan menuju garisan penamat tampak sengit dengan kesemua pelumba berada dalam kelompok besar berbaki 5 kilometer.
Namun henjutan bertenaga ditampilkan Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli pada 50 meter terakhir membolehkan beliau muncul sebagai pemenang.
"Saya cuba untuk kekal di belakang (Arvid De Kleijn) tetapi saya kehilangannya sejauh 500 meter hingga ke penamat. Saya sedikit ke belakang, jadi saya mesti berjuang untuk menamatkan dan perlawanan akhir adalah sempurna untuk saya," kata Matteo.
Sementara itu, Pelumba Terengganu Cycling Team(TSG) Aiman Zariff menguasai kategori 'Most Combative Rider' manakala Aiman Rosli bergelar pelumba terbaik Malaysia untuk saingan hari ini.
"Macam hari ini memang Aiman cuba 100 peratus untuk pasukan dan Malaysia, walaupun tak dapat winner stage atau podium stage HARI iNI. Alhamdulillah Aiman dapat untuk 'Most Combative Rider'.
"Hari ini perlumbaan dalam hujan, jalan juga okay. Alhamdulillah untuk hari ini," katanya.
Jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan masih kekal milik pelumba DSM-Fermenich PostNL, Max Poole.
Arvid De Kleijn dan Mario Aparicio Munoz turut mempertahankan jersi oren selaku raja pecut dan jersi polkadot sebagai raja bukit.