SHANGHAI, 5 Oktober - Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner dan pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz melangkah ke pusingan ketiga Shanghai Masters selepas memperoleh kemenangan 'straight-sets' ke atas lawan masing-masing.
Sinner menumpaskan pemain Jepun, Taro Daniel 6-1, 6-4, manakala Alcaraz menundukkan pemain tuan rumah, Shang Juncheng, 6-2, 6-2.
Sinner, 23 tahun berkata, beliau tidak berada dalam situasi 'selesa', susulan rayuan Agensi Anti Doping Antarabangsa (WADA) terhadap keputusan Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) yang membebaskannya daripada sebarang salah laku, selepas dua kali diuji positif steroid pada Mac lepas.
Terdahulu, pemain Sepanyol, Alcaraz mudah mengatasi pemain remaja China, Shang yang memenangi kejohanan Terbuka Chengdu, bulan lepas.
Meski mendapat sokongan ramai penonton, ternyata Alcaraz bukanlah lawan Shang. -AFP-