NEW YORK, 30 Ogos- Juara dua kali, Naomi Osaka, menamatkan perjuangannya di Terbuka AS apabila tersingkir seawal pusingan kedua pada Khamis selepas kalah di tangan pemain di ranking ke-52 dunia, Karolina Muchova 6-3, 7-6 (7/5) .
Osaka, yang menjulang gelaran juara pada 2018 dan 2020, tidak menyertai edisi tahun lalu selepas melahirkan anak perempuannya, Shai. Dia belum berjaya melepasi pusingan ketiga Grand Slam sejak Terbuka Australia 2022.
Pemain berusia 26 tahun itu gagal membina momentum dalam percubaannya untuk kembali dan kemenangan pusingan pertama ke atas Jelena Ostapenko adalah kemenangan pertamanya dalam empat tahun ke atas pemain dalam kalangan 10 teratas dunia.
Manakala Muchova pula adalah lawan yang sukar. Semifinalis di New York tahun lalu, Muchova pernah mencapai kedudukan kelapan dunia sebelum terlepas sembilan bulan akibat pembedahan pergelangan tangan.
Osaka kembali ke Stadium Arthur Ashe, di mana dia meraih gelaran Grand Slam pertamanya dengan menewaskan Serena Williams pada 2018, dalam gaya tersendiri melangkah ke gelanggang dengan pakaian hitam Nike yang direka khas.
Memulakan perlawanan dengan yakin, Osaka kemudiannya tidak dapat memanfaatkan peluang break point awal, dan melakukan banyak kesilapan bawah tekanan hebat daripada Muchova.
Muchova mendahului 4-3 dalam set pertama dan memenangi lima perlawanan berturut-turut.
Osaka kemudiannya mengikat 1-1 dalam set kedua dan mendahului 5-4.
Namun, dia melepaskan tiga set point dalam perlawanan berikutnya ketika Muchova kembali memintas dan menyamakan set apabila Osaka melakukan forehand yang terlalu panjang.
Osaka mendahului 4-2 dalam tiebreaker apabila kesalahan berganda keempatnya membuka peluang untuk Muchova.
Pemain Czech itu memenangi empat mata berturut-turut untuk memberi dirinya dua mata perlawanan.
Tamat aksi, Muchova menang 6-3, 7-6 (7/5). -AFP