IPOH, 27 Jun - Bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hari ini mengemukakan representasi aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) negeri Perak.
Representasi tersebut mengenai pemecatan atau penamatan kontrak beliau serta-merta daripada mengendalikan pasukan itu yang didakwanya dibuat secara tidak sah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Beliau yang hadir ke pejabat JPP di Greentown, di sini bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han turut menuntut supaya pengurusan pasukan itu melunaskan baki bayaran gaji selama 16 bulan iaitu bermula dari tarikh pemecatan (24 Mei) sehingga tarikh sepatutnya kontrak dua tahun mengendalikan pasukan itu tamat.
"Saya datang dengan baik, saya mahu keluar dari Perak FC pun dengan baik itu sahaja, tiada niat yang buruk...ini hak saya, saya tuntut untuk hak saya sahaja, tidak lebih dan tidak kurang," kata Teong Kim ketika ditemui pemberita.
Tambah Teong Kim, pihaknya sedia berbincang dengan pihak pengurusan Perak FC untuk menyelesaikan masalah tersebut secara baik.
Katanya, sekiranya tiada jalan penyelesaian tindakan mahkamah akan diambil.
Sepanjang mengendalikan Perak FC, skuad The Bos Gaurus hanya memenangi dua perlawanan Liga Super selain seri tiga kali dan tewas tujuh kali di bawah kendalian Teong Kim.
Prestasi itu sudah pasti tidak seperti yang diharapkan oleh pengurusan pasukan yang meletakkan harapan tinggi buat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.